Tuesday, 5 August 2014

Cerita Seram: Kau Berani , Aku Takut

"Malam ni, abang nak masuk hutan lagi. Ramzi dengan Latip ajak abang jerat ayam," Zamri memberitahu isterinya, Fauziah.

Muka Fauziah mula berubah, separuh masam. "Abang ni asyik masuk hutan je. Suka sangat tinggalkan Ziah kat rumah sorang-sorang. Ziah takutlah...."

"Alaa.. buat apa Ziah nak takut? Kalau Ziah takut sangat, Ziah pergilah tidur kat rumah Kak Mun. Lagipun Ziah kan suka makan ayam hutan...." Zamri berusaha memujuk Fauziah.

Mendengar ayam hutan, Fauziah terdiam. Dia memang suka makan ayam hutan golek. Mahu tidak mahu, Fauziah terpaksa juga melepaskan Zamir pergi. Sepeninggalan Zamir, Fauziah menyalakan lampu dalam rumah. Kemudian dia duduk mengunci diri dalam bilik tidur. Demi memastikan diri cepat rasa mengantuk, Fauziah memaksa diri membaca sebuah buku yang paling membosankan. Baru setengah jam membaca, Fauziah pun terlelap.

Dum! Dum! Dum! Fauziah tersentap dari tidur akibat dari ketukan yang kuat itu. Dia terpisat-pisat di atas katil. Apabila memandang jam di dinding, jam menunjukkan pukul 3 pagi. Jangan-jangan Zamir yang pulang.

Dum! Dum! Dum!

"Sekejap bang!" sahut Fauziah menyanggul rambut. Kemudian dia bergegas ke ruang dapur untuk membuka pintu. Apabila pintu dibuka, Fauziah kehairanan apabila mendapati tidak ada orang diluar sana. "Abang?" panggil Fauziah sambil mata meliar ke dalam gelap di luar rumah.
"Auuuuuuu.. auuuuuuuuuuu" sebaliknya lolongan anjing yang menyahut panggilan Fauziah. Meremang bulu romanya. Cepat-cepat Fauziah menghempas pintu lalu menguncinya. Dia bersandar di pintu.

Ktangggg! Fauziah tersentak. Sebuah periuk tiba-tiba terjatuh dari gantungan. Fauziah terkaku memandang periuk yang tergolek diatas lantai itu. Tiba-tiba, tidak semena-mena periuk itu meluncur laju ke arahnya.

"Aaaaaaa" Fauziah terpekik ketakutan. Spontan meluru masuk ke dalam bilik.

Ktanggg... tang..tang... kedengaran bunyi periuk berlaga dengan daun pintu. Fauziah menggigil ketakutan.

"Allah....ya Allah... tolong lindungi hamba-Mu ini..." Fauziah terketar menyebut nama Allah dan kemudian bersungguh-sungguh membaca surah-surah pendek. Akhirnya Fauziah tertidur dalam ketakutan menunggu Zamir pulang.




*************************************************************************************************************************

"MANA ada hantu dalam rumah ni..." sangkal Zamir apabila mendengar cerita Fauziah. Walaupun kasihan melihat muka Fauziah pucat lesi, tetapi dalam masa yang sama, dia tidak mahu isterinya terlalu takut dengan gangguan aneh itu.

"Betul bang... Ziah takut sangat semalam. Memang ada hantu!" Fauziah beria-ia meyakinkan Zamir. Mudah-mudahan Zamir tidak akan meninggalkan dia sendirian lagi malam ini.

"Hishh... jangan ikutkan perasaan Ziah tu. Ziah tau tak, kalau Ziah takut, benda tu lagi berani kacau Ziah. Ha, kalau Ziah berani, benda tu pulak yang takut nak kacau Ziah." ujar Zamir sambil tersenyum.

Dari kata-kata Zamir itu, Fauziah tahu, pasti Zamir mahu keluar lagi malam ini. " Ni mesti abang dah janji dengan kawan-kawan nak keluar lagikan?" . Zamir tersengih. ' Ha ah. Kami nak pergi memancing." (gilaa aah, sampai hati suami dia)

Fauziah tarik muka tanda merajuk. Tetapi Zamir pandai memujuk. Sebelum keluar dari rumah, Zamir berpesan supaya Fauziah memberanikan diri.
Baru sejam Zamir pergi, Fauziah sudah diganggu. Pintu rumahnya diketuk berkali-kali. Fauziah membiarkan sahaja.Dia sudah takut mahu membukanya.

Apabila Fauziah tidak melayan , ketukan menjadi semakin kuat sehingga terdengar daun pintu ditendang-tendang. Pun, Fauziah cuba buat tidak tahu.
Namun sekejap kemudian hampir semua tingkap dan pintu rumah diketuk bertalu-talu. Keadaan itu hampir saja membuat Fauziah menjerit sekuat hati kerana tidak tertahan ketakutan.

Bunyi ketukan itu berhenti. Tetapi diganti pula dengan bunyi orang berlari mengelilingi rumah sambil mendengus kuat seperti lembu jantan(redbull). Fauziah memekup telinga, Dia sudah berpeluh seram. Mana mungkin dia berani menghadapi gangguan sebegini sendirian.

"Tolonglah hentikan semua ini!" jerit Fauziah dalam keadaan memekup telinga.

Bukannya berhenti, bunyi orang berlari itu malah semakin kuat. Bahkan diikuti pula dengan tepukan-tepukan pada dinding. Bunyi orang berlari itu berhenti di pintu dapur. Suasana sepi seketika. Fauziah menajamkan telinga.


Kreeekkk.... Fauziah tergamam apabila mendengar bunyi pintu dapur dikuak perlahan-lahan. Kemudian mendengar pula bunyi  pinggan dan sudu berlaga sesama sendiri. Fauziah sudah panik separuh mati. Tangannya pantas mencapai batang penyapu lalu berjalan berjengket-jengket menuju ke dapur.

Namun apabila sampai di ambang dapur, Fauziah terkejut bukan kepalang. Bukannya ada orang, tetapi kerusi, pinggan-mangkuk bergerak sendiri. Sah! Ada hantu dalam rumahnya. Batang penyapu yang dipegang, terlepas dari tangan. Tidak semena-mena lampu dalam rumah terpadam!

"Hoi! Siapa kau hah? Kenapa ganggu aku?"

Tidak ada yang menyahut, cuma terdengar suara angin berhembus kuat. Dan tiba-tiba terdengar bunyi periuk jatuh ke lantai. Seperti ada seseorang yang melemparkannya ke lantai. Fauziah menggeletar. Ketika itulah dia teringatkan pesanan suaminya.

'Kalau Ziah takut, benda tu lagi berani kacau Ziah. Ha, kalau Ziah berani, benda tu pulak yang takut nak kacau Ziah.'

Tidak semena-mena timbul kekuatan dalam diri Fauziah. Dia sudah tidak tertahan lagi menanggung ketakutan. Sedangkan ketika Zamir ada di rumah, tidak pula 'benda' it datang mengganggu. Nampak sangat 'benda' itu hanya suka mengacau dan menakut-nakutkan Fauziah seorang.

"Hoi! Ini rumah aku! Lebih baik kau berambus! Jangan ganggu aku!" jerit Fauziah sekuat hati.

Bunyi-bunyi aneh tadi sudah tidak kedengaran lagi. Ke semua lampu tiba-tiba menyala kembali. Sepantas kilat, Fauziah  berlari masuk ke dalam bilik air. Dia segera mengabil wuduk dan kemudiannya masuk ke dalam bilik. Selepas menyarungkan tudung ke kepala, Fauziah mencapai naskah surah Yassin. Baru sahaja Fauziah  duduk di atas katil, pintu biliknya ditendang dengan kuat dari luar. Fauziah merengus.

"Kau tendanglah pintu sampai roboh sekalipun, aku malas nak layan kau!" jerit Fauziah  sebelum memulakan bacaan Yassin.

Ketika itulah kedengaran bermacam-macam bunyi aneh kedengaran di luar bilik. Bunyi orang melompat-lompat. Bunyi benda besar berat jatuh dari siling dan bergolek laju melanggar pintu bilik. Malah rumah terasa bergegar seperti dilanggar sesuatu yang besar.

Fauziah berusaha memekakkan telinga. Bacaannya diperkuatkan. Semakin kuat Fauziah  membaca, semakin galak pula 'benda-benda' itu berbunyi. Tetapi, lama-kelamaan ia menghilang sendiri. Suasan jadi tenang sediakala. Fauziah  mengeluh kelegaan sesudah selesai membaca. Naskah Yassin dijunjung lalu dicium. Fauziah dapat tidur dengan tenang.

Esoknya Zamir pulang, Fauziah segera menceritakan kejadian yang berlaku. Zamir tersenyum bangga mendengar keberanian Fauziah. Dan sejak itu, Fauziah tidak merungut lagi jika Zamir mahu melakukan aktiviti bersama-sama teman2nya pada waktu malam. Masih ada gangguan halus itu. Tetapi Fauziah menghabiskan masa membaca surag Yassin sebelum tidur dalam keadaan berwudhuk.

Hasilnya, Fauziah  tidak lagi diganggu oleh benda-benda halus.

2 comments:

  1. aishh seram aehhh.. meremang gak bula roma ni.. aigoyaahh

    ReplyDelete